Home » Artikel » Apa langkah pertama untuk pasarkan produk/servis?

Apa langkah pertama untuk pasarkan produk/servis?

 

Market-kan produk? Bagaimana?

Soalan yang ditanya di Channel Telegram BRC:
Kalau diberi satu produk atau servis, apa langkah pertama untuk pasarkan ia?

Langkah paling utama untuk dibuat apabila mahu pasarkan produk (servis juga sama macam produk) ialah…

Kenal produk dan bakal pelanggan dengan mendalam

Tanamkan dalam kepala: kita tidak boleh pasarkan produk jika kita tidak kenal produk dan pengguna produk itu.

Ramai penjual yang terus melompat kepada langkah menjual TANPA kenal produk dan pelanggan.

Hasilnya: produk susah dijual, penjual pun putus asa.

INGAT:
Kenal produk dan pengguna produk.

Saya ulang banyak kali supaya lekat dalam kepala.

Menjalankan marketing ialah satu resepi yang perlukan bahan mentah yang cukup. Kumpulkan bahan mentah kita dengan…

1. Buat kajian tentang produk

Apa ciri-ciri produk?

Apa manfaat produk?

Apa kelebihan produk?

Bagaimana produk ini kalau dibandingkan dengan produk-produk yang sama dengannya?

Di mana posisi produk ini dalam market: premium atau mampu milik; keperluan atau kemahuan; produk asas atau produk mewah; produk baru (bukan jenama baru) yang perlu diperkenalkan cara penggunaan atau produk yang sudah diketahui ramai cara penggunannya?

Luangkan masa mungkin paling minima SEMINGGU untuk betul-betul kenal produk.

Kita tidak boleh pasarkan produk yang kita tidak kenal, luar dan dalam.

Tapi…

Perlu ingat! Produk bagus semata-mata tidak cukup kalau tiada pelanggan yang mahu membeli.

Jadi, kita perlu…

2. Buat kajian tentang pelanggan

Siapa yang perlukan produk ini?

Siapa yang gila-gila perlukan produk ini sampai mereka sanggup bayar duit sekarang?

Siapa yang gila-gila perlukan produk ini sampai mereka tidak sabar-sabar dan tidak berkira untuk dapatkan produk ini segera?

Apa masalah yang menghantui mereka?

Apa ayat yang mereka cakap pada diri sendiri? Apa yang mereka beritahu diri sendiri?

Apa yang mereka fikir, rasa, dengar, lihat berkaitan dengan produk?

Apa ketakutan, harapan, impian mereka?

Pelanggan tidak mahu membeli produk. Membeli produk ialah JALAN mereka untuk sampai ke destinasi. Membeli produk ialah perantara mereka untuk selesaikan masalah.

Kita takkan dapat buat pelanggan membeli kalau kita sekadar menjual produk. ‘Membeli produk’ tidak memotivasikan mereka. ‘Menyelesaikan masalah’ ialah motivasi yang lebih kuat untuk mereka bertindak membeli.

INGAT: Pelanggan tidak membeli produk.

Ada matlamat akhir yang mereka mahu capai. Ada sebab lain mereka membeli produk.

Lebih hebat kita mengorek apa mereka mahu capai ini, maka lebih hebat ayat jualan dan marketing kita.

Cara paling mudah untuk buat kajian pelanggan…

…ialah dengan bertanya kepada bakal pelanggan.

Kita tidak boleh fikir sebagaimana pelanggan fikir. Seeloknya kita dapatkan secara terus daripada pelanggan.

‘Belum ada pelanggan, kepada siapa saya mahu tanya.’

Walaupun belum ada pelanggan, dalam kepala kita pasti sudah ada gambaran siapakah bakal pelanggan?

Apakah demografik bakal pelanggan atau pengguna produk ini? Demografik bermaksud: umur, jantina, tinggal di mana, kerja apa, status perkahwinan, berapa orang anak…

Pendek kata, apa saja ciri-ciri pelanggan yang berkaitan dengan produk kita.

Kemudian… cari orang yang ada ciri-ciri begini. Mungkin kawan-kawan kita sendiri.

Tanya apa masalah mereka. Apa mereka mahu. Apa situasi mereka.

Rangka strategi marketing

Dengan semua bahan mentah yang cukup tadi, barulah kita boleh ‘masak’ pelan marketing dengan resepi yang betul.

Buat iklan apa? Ayat apa? Di mana mahu letak iklan?

Apa kelebihan produk yang mahu disampaikan? Berapa harga produk yang sesuai untuk pelanggan?

Apa cara kita menjual? Bagaimana cara terima order? Bagaimana cara terima bayaran?

Semua soalan ini boleh dijawab dengan mudah jika kita sudah buat kajian mendalam tentang produk dan pelanggan.

 

Mahu belajar marketing dari asas?

Sudah buat iklan, tapi tiada hasil?

Ada masalah untuk tingkatkan jualan?

KLIK SINI supaya kami dapat bantu anda!


SUKA artikel ini? Kongsi manfaatnya.

Tekan butang SHARE!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *