AirBnb: Dari 3 Tilam Kepada 6 Juta Bilik Seluruh Dunia

AirBnb: Dari 3 Tilam Kepada 6 Juta Bilik Seluruh Dunia

Kebanyakan kisah kejayaan bisnes banyak bermula dengan kegagalan. Sama juga seperti kisah kejayaan Airbnb, tetapi kisahnya agak unik.

Mungkin ramai yang tidak mengenali founder Airbnb tapi kisah kejayaan mereka boleh dijadikan pembakar semangat untuk kita capai kejayaan.

Jom kita menelusuri garis masa Airbnb dari permulaan sehingga menjadi ‘Billion Dollar Company’.

Idea Anak Muda Yang Terdesak

Lepas habis pengajian di Rhode Island School of Design College, Brian Chesky dan Joe Gebbia masing-masing bekerja di tempat yang berbeza.

Pada tahun 2007, mereka berhenti kerja dan menyewa apartment di San Francisco bersama. Tanpa pekerjaan, mereka mula terdesak untuk membayar sewa rumah mereka.

Bandar San Francisco pada ketika itu sedang bersiap untuk menerima kedatangan pengunjung dari serata dunia untuk Industrial Design Conference. Bilik-bilik hotel telah habis ditempah tetapi masih ada pengunjung yang masih belum ada penginapan.

Mereka memandang situasi ini sebagai peluang untuk mereka menyediakan penginapan kepada pengunjung dengan menyewa sebahagian ruang dan bilik apartment mereka.

Mereka terus menghasilkan satu website bernama AirBedAndBreakfast.com dan membeli tilam udara (air mattres) untuk bakal tetamu mereka. Mereka juga turut menyediakan sarapan kepada tetamu.

Dengan harga sewa $80 semalam, mereka berjaya mendapat 3 orang penyewa, 2 orang lelaki dan seorang wanita.

Selepas kejayaan itu, mereka dapat beberapa emel pertanyaan dari serata dunia berkenaan dengan servis mereka seperti Buenos Aires, London dan Jepun.

Dari sebuah idea yang terdesak, mereka mula mengorak langkah untuk mengembangkan servis mereka.

Apa yang kita boleh belajar?

Tak semestinya idea bisnes kita perlu besar dan memerlukan modal yang banyak. Seperti kisah Brian Chesky dan Joe Gebbia, mereka hanya bermula dengan menyewakan ruang di apartment mereka dan menyediakan sarapan untuk penyewa.

Mereka juga tidak memerlukan modal yang besar kerana mereka sememangnya sedang terdesak dan tiada duit untuk bayar sewa.

Kita juga boleh memulakan bisnes dengan menyelesaikan masalah ramai orang. Pilih satu masalah yang kita nak selesaikan dan ada orang yang nak bayar untuk kita selesaikan mereka sudah cukup untuk kita bermula.

Bisnes Model Yang Gagal Berkembang

Selepas kejayaan mendapat sambutan dengan idea bisnes mereka, seorang graduan Harvard yang juga arkitek teknikal, Nathan Blecharczyk menyertai mereka.

Pada ketika itu, mereka hanya ada 2 pengguna berdaftar dan salah seorangnya adalah Brian Chesky. Mereka membuat pelancaran di Southwest Conference & Festival (SXSW), malangnya hanya menerima 2 tempahan saja.

Selepas mereka ubah semula website, mereka melancarkan semula syarikat mereka sebelum Democratic National Convention di Denver berlangsung.

Konvensyen tersebut menarik kunjungan seramai 20,000 orang dan kesemua hotel telah habis ditempah. Mereka berjaya menerima 600 tempahan penyewa tetapi kejayaan mereka hanya sementara.

Mereka berjaya menarik penyewa dari pengunjung dari konvensyen tersebut tetapi bukan setiap minggu konvensyen akan diadakan. Mereka gagal menarik penyewa di waktu lain.

Pada ketika itu juga, mereka menerima kritikan pedas mengenai servis mereka yang mengaitkan dengan penyewa yang terdedah kepada jenayah seperti rompak dan bunuh.

Dalam kritikan tersebut juga menyebut supaya bisnes mereka tidak berkembang dan kekal sebagai bisnes ‘underground’. Mereka tidak memandang kritikan tersebut sebagai punca kejatuhan mereka, sebaliknya mereka terus mencari jalan untuk berkembang.

Apa yang kita boleh belajar?

Dalam mengembangkan bisnes, kita sentiasa akan berhadapan dengan cabaran yang berbeza-beza.

Dalam kes Airbnb, mereka berhadapan dengan kritikan dan kegagalan mereka menarik penyewa di luar waktu puncak seperti konvensyen tempatan. Tetapi perkara ini tidak mematahkan semangat mereka untuk mencari jalan untuk terus berkembang.

Sama juga seperti kita apabila ada halangan yang menimpa, kita tidak seharusnya berputus asa dan terus berusaha untuk mengatasi cabaran tersebut.

Kegagalan Mencari Pelabur

Untuk memastikan syarikat mereka terus berkembang, mereka perlu menarik lebih ramai orang untuk menyewakan rumah dan disenaraikan di dalam website mereka. Mereka juga perlu menarik minat orang ramai yang travel untuk memilih servis syarikat mereka.

Dengan itu mereka sangat memerlukan duit dari pelabur untuk mereka kembangkan bisnes. Malangnya, ramai pelabur tidak tertarik dengan bisnes model mereka.

Dalam satu temubual, Brian Chesky beritahu sangat susah untuk cari pelabur. Dari 20 orang pelabur, 15 tidak membalas emel dan hanya beberapa orang saja yang berminat untuk berjumpa.

Semasa membentangkan bisnes model mereka kepada salah seorang pelabur, secara tiba-tiba pelabur tersebut meninggalkan mereka kerana tidak berminat.

Dengan hutang kredit yang mula bertimbun, mereka memutuskan untuk mencari modal sendiri dengan menjual bijirin sarapan kepada penyokong wakil parti yang bertanding dalam pilihanraya yang akan datang iaitu Barrack Obama dan John McCain.

Terhasillah Obama O’s dan Cap’n McCain’s yang berjaya dijual dengan harga $40 dan menjana $30,000. Duit jualan tersebut digunakan untuk membayar hutang dan menanggung perbelanjaan syarikat mereka.

Apa yang kita boleh belajar?

Walaupun usaha mereka untuk mengembangkan bisnes menemui jalan buntu kerana gagal mencari pelabur, mereka tidak berhenti setakat itu. Sebaliknya, mereka mula mencari peluang lain untuk mencari modal sendiri.

Walaupun idea tersebut kelihatan ‘mengarut’, mereka berjaya menjual sekotak bijirin sarapan yang bermodalkan $4 dengan harga $40.

Kita juga perlu menjadi seperti mereka yang berjaya ‘adapt’ dengan situasi yang membimbangkan. Dalam bisnes kita perlu sentiasa bersedia dengan backup plan jika berlaku sesuatu yang tak dijangka kepada bisnes kita.

Dengan cara lain, kita perlu ada duit simpanan syarikat supaya dapat menampung perbelanjaan syarikat semasa menghadapi masalah.

Kesungguhan Yang Membawa Kejayaan

Selepas kejayaan menjual bijirin sarapan Obama O’s dan Cap’n McCain’s, mereka menyertai program Y Combinator. Y Combinator merupakan sebuah syarikat yang membantu syarikat startup dengan memberi dana permulaan bisnes untuk sebahagian ekuiti syarikat dan menyediakan latihan bisnes.

Paul Graham (founder Y Combinator) pada mulanya tidak tertarik dengan model bisnes AirBnB. Tetapi selepas beliau mengetahui mereka berjaya menghasilkan jualan yang banyak dengan menjual bijirin sarapan, beliau bersetuju untuk menerima AirBnB dalam program Y Combinator dan menyuntik dana sebanyak $20,000.

Beliau tertarik dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga founder berkenaan. Ini merupakan kejayaan pertama mereka memperoleh pelaburan dari luar.

Pada waktu yang sama juga, Paul Graham telah menyarankan seorang pelabur terkemuka, Fred Wilson untuk melabur di dalam syarikat Airbnb tetapi ditolak.

Dengan menggunakan duit pelaburan dari Paul Graham, mereka melawat rumah-rumah penyewa yang disenaraikan dalam website mereka di New York.

Satu masalah yang mereka dapati adalah, gambar-gambar yang penyewa letak di dalam website tidak cantik dan kurang menarik. Mereka buat keputusan membeli kamera dan pergi rumah ke rumah untuk mengambil gambar untuk diletakkan di website secara percuma.

Tindakan mereka membuahkan hasil dan pendapatan mereka naik dari $200 ke $400 sebulan.

Kisah seorang penyanyi terkenal, Barry Manilow menyewa sebuah rumah dari Airbnb mendapat perhatian orang ramai termasuk pelabur. Mereka menerima pelaburan sebanyak $600,000 dari sebuah firma pelaburan, Sequioa Capital.

Pada tahun 2010, mereka menerima sejumlah pelaburan dari pelbagai pelabur sebanyak $7.2 juta.

Pada tahun 2011, mereka menerima lagi pelaburan sebanyak $112 juta dari pelbagai pihak termasuk seorang pelakon terkenal, Ashton Kutcher. Menjelang tahun 2014, AirBnB dinilai sebagai sebuah syarikat bernilai $10 billion.

Sehingga kini, AirBnB masih berkembang pesat ke seluruh dunia. Kisah yang bermula dengan menyewakan 3 tilam untuk pelanggan, kini mempunyai lebih 6 juta listing menurut ipropertymanagement.com.

Apa yang kita boleh belajar?

Walaupun idea bisnes mereka ditolak oleh beberapa pelabur, Brian Chesky, Joe Gebbia dan Nathan Blecharczyk tetap dengan kesungguhan mereka untuk membina nama Airbnb.

Kesungguhan mereka itu yang berjaya meyakinkan Paul Graham untuk mereka menyertai Y Combinator dan seterusnya berjaya meyakinkan ramai pelabur.

Kita juga perlu mempunyai kesungguhan seperti mereka bertiga. Setiap bisnes ada cabaran yang berbeza, tapi dengan kesungguhan kita boleh mencari jalan penyelesaian dan mengembangkan bisnes.

Bukan saja dalam bisnes, malah dalam hidup kita juga perlu ada kesungguhan untuk melakukan sesuatu.

BRC.my | Made with ❤️ in Putrajaya | hai @brc.my | Privacy policy