logo brc 200

AMARAN: UNTUNG ANDA TAK SEBANYAK YANG DISANGKA! INI CARA YANG BETUL UNTUK KIRA UNTUNG BISNES...

Artikel oleh: Bukhari Ramli

Dalam artikel ini, kita akan lihat:

🔥 Hakikat bahawa kebanyakan bisnes SME yang dioperasikan secara solo sebenarnya RUGI tanpa disedari

🔥 Cara kasar untuk kira-kira untung dan margin yang mencukupi supaya bisnes boleh hidup

🔥 Nombor-nombor penting yang perlu kita tahu dalam perjalanan bisnes untuk pastikan bisnes sihat

Banyak bisnes rugi tanpa sedar…

Dalam kerja saya sebagai konsultan dan strategis bisnes, saya telah bertemu dengan beratus-ratus bisnes.

Berdasarkan pengalaman saya, saya boleh cakap dengan yakin bahawa majoriti bisnes SME sebenarnya tidak untung seperti disangka.

Antara punca masalah ialah: bisnes SME yang dijalankan secara solo atau sepasang suami isteri jarang merekodkan dan mengira nombor-nombor penting dalam bisnes mereka.

Asal saja ada jualan…

Asal saja harga jualan lebih daripada harga kos belian barang…

Mereka rasa sudah untung.

Soalan: betul ke untung?

Bagaimana pantau kesihatan bisnes

Data bernombor yang kita rekodkan dan pantau akan memberitahu kita prestasi atau ‘tahap kesihatan' bisnes kita sendiri.

monitor

Kita ambil contoh kesihatan diri sendiri…

Kita boleh gunakan data suhu badan, degupan jantung, kadar pernafasan dan tekanan darah untuk pantau kesihatan seseorang. Namun, tanpa ilmu yang cukup, data ini sekadar data mentah.

Kita perlu belajar bagaimana untuk memahami data mentah ini, apa maknanya jika suhu begini, apa maknanya jika degupan jantung begitu, kadar pernafasan ini dikira normal atau tidak, dan sebagainya.

Data bernombor dalam bisnes kita juga begitu.

Betul ke untung?

Banyak bisnes sekadar melihat harga jual dan harga kos barang.

Jual saja dengan harga lebih tinggi daripada harga beli, sudah rasa cukup untung.

Soalannya: betul ke cukup?

fesyen

Case study: Bisnes jual tudung secara online

Kita mula dengan contoh mudah dulu…

Kita lihat contoh klasik bisnes paling banyak orang buat & mudah kita faham: jual tudung online.

(Ini bukan pelajaran akaun. Contoh ini lebih sekadar menampakkan hakikat prestasi bisnes supaya kita faham).

Harga purata kos satu tudung = RM20

Harga purata jualan satu tudung = RM50

Untung RM30! Besarnya untung!

Kita lihat lebih dekat…

Untung kasar = (50-20)/50 = 60%

60% ini ialah gross margin. Gross margin dikira kos untuk membeli barang yang akan dijual.

Daripada gross margin ini kita boleh tahu berapa banyak ruang kita ada untuk kos-kos lain.

Ingat, gross margin ini belum mengambil kira kos-kos lain selain harga barang. Semakin besar margin ini, semakin besar ruang kita ada untuk kos-kos lain.

Apa kos-kos lain?

Katakan kos-kos lain dalam bentuk peratusan ialah seperti berikut:

  • Gaji kita = 10% (Buat bisnes jangan lupa ambil gaji sendiri. Ini boleh jadi topik lain)
  • Untung syarikat = 15% (Ya, kita perlu siap-siap letakkan untung yang kita mahu. Bukan tunggu apa yang tinggal kemudian)
  • Kos iklan = 10%
  • Kos overhead = 10% (Kos sewa, pekerja, utiliti dsb)
  • Kos pos = 12% (Jika kita tanggung kos pos)

Jumlah = 57%

(PERHATIAN: Semua jumlah ini sebagai contoh sahaja. Saya tak kata gaji kena 10%, kos iklan kena 10% dsb.)

Selagi jumlah peratusan ini kurang daripada peratusan gross margin tadi, bermakna kita masih selamat.

Banyak sangat ke tu yang tinggal?

Dalam kes ini, kita ada 3% = RM1.50 lebihan.

Tadi rasa macam untung banyak sangat. Sampai boleh dapat RM30 setiap helai tudung.

Sekarang ni tinggal RM1.50 je?!

Ini baru kira-kira teori atas kertas!

calculator2

Hal tidak diduga memakan margin untung

Di dunia nyata, mungkin ada kos-kos lain yang kita tidak sedar.

Bagaimana kalau tudung tak laku? Kita sudah keluar duit untuk stoktetapi tidak dapat dijual. Ada lebihan. Kos ini perlu diserap. Berapa tu?

Bagaimana kalau ada stok rosak?

Bagaimana kalau ada pelanggan pulangkan barang kerana tersalah hantar dan kita perlu hantar semula (tambahan lagi 12% untuk kos pos yang baru)?

Tiba-tiba, sudah nampak untung kasar 60% tadi seperti tidak cukup. Kan?

Lain model bisnes, lain kiraannya…

Kes di atas hanyalah kes yang mudah saja.

Apa jadi kalau kita punyai model bisnes berlainan, sebagai contoh, menggunakan ejen?

Kita perlu ambilkira diskaun untuk diberi kepada ejen i.e. untung yang ejen buat.

Saya pernah jumpa kes satu pemilik bisnes yang hanya ada 17% gross margin dan menggunakan sistem ejen untuk pengedaran produk.

Setiap hujung bulan, beliau tidak nampak hasil berbisnes. Bukan saja tak untung, rugi lagi!

Baru sedar selama ini gaji sendiri yang menampung perjalanan bisnes itu!

Kenapa buat jualan, rasa sudah untung tapi tak nampak hasilnya?

Margin yang terlalu kecil akan membuatkan kita ‘sempit': kurang ruang untuk ‘bermain' dengan kos-kos lain.

Ini belum kita cerita lagi kalau kos iklan tinggi kerana tidak pandai buat iklan dengan bajet yang betul. Banyak bisnes yang saya jumpa bermain iklan Facebook tanpa kira-kira yang memakan sehingga 15-20% untuk kos iklan produk.

(Buat iklan bukan sekadar pandai picit-picit butang itu ini. Kita juga perlu tahu berapa banyak bajet kita boleh keluarkan untuk dapatkan seorang pelanggan. Ini topik lain!)

Jika gross margin 50%, ditolak pula kos iklan sehingga 20%…

Berapa pula margin yang tinggal untuk kos-kos lain?

Soalan cepumas: berapa margin yang mencukupi untuk produk saya?

Jujurnya, soalan ini bukan mudah untuk dijawab.

Setiap situasi bisnes berlainan. Kebanyakan masa, banyak kos tersembunyi yang pemilik bisnes sendiri tidak dalam.

Dalam banyak situasi business consulting yang saya jalankan, kadang-kadang memakan masa sehingga 2 jam untuk menggali semua data-data penting untuk dimasukkan dalam kira-kira.

Ada masa, sudah gali selama 2 jam, sudah buat kira-kira…

Saya tanya satu soalan dan keluar jawapan yang membuatkan pengiraan jadi salah! Rupanya ada lagi data yang pemilik bisnes terlepas pandang. Kena kira semula.

Jadi, apa yang saya tulis di bawah ini lebih kepada panduan kasar sahaja:

  • Ambilkira semua kos yang terlibat dalam bisnes
  • Anggarkan berapa banyak jualan yang kita boleh buat
  • Pecahkan semua kos tadi dalam bentuk peratusan

Sudah dapat semuanya?

Margin yang mencukupi ialah…

Melebihi jumlah peratusan yang kita baru kira tadi!

Atau saya ada sifir lebih mudah: Margin yang mencukupi ialah SEBANYAK YANG BOLEH!

cash

Realiti bisnes kecil

Realitinya kita bisnes kecil yang bergantung harap pada usaha dan cashflow sendiri.

Kita bukan bisnes besar yang ada credit term lama, bank facility dan investor besar. Kita perlu bijak mengurus nyawa bisnes kita: cashflow.

Aliran tunai ialah nyawa kita. Itulah yang bantu kita beli stok seterusnya, bayar gaji pekerja, bayar utiliti, bayar sewa dan sebagainya.

Kita perlu buat kira-kira begini…

Setiap RM yang kita laburkan, yang kita keluarkan; kita patut tahu berapa RM yang ia akan hasilkan.

Dengan aliran tunai yang ketat, sedikit saja silap pada margin untung, boleh buatkan bisnes kita mati.

Paling teruk lagi kalau kita buat bisnes secara part time dan sebenarnya kerja full time kita yang menanggung bisnes.

Buat bisnes penat, kerja penat, hasil tiada!

Pengajaran penting di sini ialah:

  • Majoriti bisnes tidak untung seperti disangka
  • Bisnes perlu rekod data-data penting untuk tujuan mengira dan memantau kesihatan bisnes
  • Margin yang mencukupi sangat penting supaya aliran tunai tidak terganggu
 
Jom belajar lebih lagi:
Join LIVE TRAINING kira-kira bisnes secara percuma ini… (klik gambar)
 

BRC.my | Made with ❤️ in Putrajaya | hai@brc.my