fbpx

Kenapa orang tak datang ke bisnes anda?

Ini masalah biasa bisnes yang ada premis.

Dah buat iklan macam-macam tapi orang tak datang. Belanja iklan beribu. Siap bayar influencer lagi untuk buat review.

Masalah orang tak datang kedai kita ini bukan semata-mata masalah marketing saja. Ada banyak sebab lain yang boleh jadi punca orang tak datang dan tak beli dari kedai kita.

Tak guna kalau kita ada marketing yang gempak tapi hal-hal lain kita tak jaga.

Jadi dalam artikel ini kita akan membincangkan 5 sebab kenapa orang tak datang ke kedai kita dan cara kita nak atasi masalah ini.

‘Bad Customer Service’

Kita sendiri akan rasa menyampah bila masuk kedai yang ada masalah customer service ni.

Contoh: bila kita pergi restoran, kena tunggu sampai 10 minit untuk ambil order padahal staf restoran lalu lalang saja dekat meja kita. Bila ambil order, muka ketat. Haram tak reti senyum. Order sampai pula salah.

Bila terkena pengalaman macam ni, kita mesti tak nak datang dah restoran tu betul tak?

Lain pula kes bila kita pergi kedai yang ada customer service yang baik. Masuk saja kedai kita akan disambut oleh staf kedai dengan layanan yang baik.

Bila nak pilih barang pun, salesperson mereka akan bantu kita pilih mana yang sesuai dengan kehendak kita dan bagi cadangan serta pendapat mereka.

Kalau di restoran, order lambat sampai pun kita tak rasa marah bila waiter hantar makanan sambil minta maaf dan senyum saja.

Jadi, kalau kita buat marketing untuk tarik pelanggan baru tapi mereka dapat pengalaman customer service yang tak bagus, mereka juga tak akan datang semula dah.

Kita terpaksa sentiasa mengharapkan pelanggan baru untuk naikkan jualan.

Apa yang kita perlu buat ialah kita perbaiki customer service bisnes kita. Latih staf supaya boleh melayan pelanggan dengan baik.

Jangan takut untuk ambil pekerja yang baik. Mungkin kita perlu bayar gaji lebih tinggi tapi kalau mereka mampu menaikkan jualan kedai, ianya pelaburan yang berbaloi.

Tiada Elemen ‘Scarcity’

Scarcity bermaksud kita buatkan produk kita terhad atau susah didapati. Bila ada elemen ini, pelanggan akan rasa nak beli cepat dan mungkin akan beli lebih. Nampak special sikit apa yang kita jual tu.

Martin Lindstorm dalam bukunya ‘Buyology: Truth and Lies About Why We Buy’ cakap, dia boleh buatkan jualan makanan dalam tin meningkat dalam masa sehari dengan hanya menambah ayat hanya ‘8 tin saja untuk setiap pelanggan’.

Pelanggan akan rasa makanan dalam tin tu tadi sangat terhad dan akan beli lebih walaupun harganya sama di hari lain.

Perkara sama juga pernah berlaku di Malaysia satu masa dulu bila bekalan minyak masak terhad dan setiap pelanggan hanya boleh membeli 2 bungkus minyak saja.

Padahal sebelum ini pun kita hanya beli sebungkus tapi bila ada elemen scarcity ini, kita terus nak beli lebih. Sampai satu tahap kita datang banyak kali untuk beli minyak masak tersebut.

Bila tiada elemen ‘scarcity’ ini, pelanggan tiada rasa keperluan untuk datang ke kedai kita dan beli. Mungkin mereka ada niat untuk beli kemudian tapi lambat laun mereka akan lupa kita dan beli dari pesaing kita.

Apa yang kita boleh buat adalah kita boleh promosikan sesuatu produk kita pada suatu masa dan buatkan produk tersebut terhad.

Contoh biasa yang kita boleh: tengok di restoran adalah ada menu istimewa yang sangat terhad. Hanya 30 orang pelanggan terawal saja yang boleh merasa menu tersebut.

Kalau tiada elemen scarcity untuk menu tersebut, mungkin tiada pelanggan pun akan beli. Tapi dengan ada elemen scarcity, setiap hari menu tersebut akan habis awal.

Contoh lain: katakan kita ada butik jubah. Kita boleh promosikan satu design jubah baru yang terhad. Hanya 100 helai saja dikeluarkan.

Pelanggan akan rasa ‘special’ kalau mereka beli design tersebut disebabkan ‘limited release’ tu tadi.

Tiada Daya Penarik

Kalau kedai kita tiada daya penarik, kedai kita terletak di kawasan paling sibuk pun, orang tetap tak akan datang. Orang yang lalu lalang tu nampak kedai kita sama saja macam kedai lain. Tiada beza pun. 

Jadi kita boleh buat sesuatu supaya boleh jadi penarik untuk orang yang lalu lalang tadi yang mungkin tak tahu pun apa yang kita jual, datang ke kedai kita.

Contoh yang paling senang sekali kita boleh tengok bila kita masuk ke dalam pasaraya besar seperti IOI City Mall atau MidValley.

Perasan tak ada banyak restoran yang akan ada waiter berdiri depan kedai dan ada buku menu. Kenapa mereka buat macam ni?

Sebab kita kalau pergi pasaraya pun kita pening fikir nak makan mana. Lalu pula depan restoran yang kita tak familiar, lagi kita elak untuk masuk.

Tapi bila ada buku menu dekat depan restoran tu, mudah untuk kita tengok dulu menu. Masa tu baru kita tahu apa menu special restoran ni. Sebelum masuk lagi kita dah tahu nak pesan apa nanti.

Contoh lain: kita boleh bagi sample percuma. Manusia sangat suka barang percuma. Jadi kita boleh bagi sample percuma untuk pelanggan kita cuba.

Tapi ingat, kita bukan semata-mata bagi percuma, sebaliknya sample percuma yang kita bagi itu boleh meyakinkan pelanggan untuk membeli dengan kita.

Kita boleh tengok contoh kedai yang jual minyak wangi dalam pasaraya besar tadi. Mereka akan bagi kita sample minyak wangi dalam bentuk sekeping kertas seperti kad kepada orang yang lalu lalang di kedai mereka.

Pelanggan yang berkenan dengan bau sample percuma tadi, mereka akan masuk ke kedai tersebut. Mereka juga menyediakan tester untuk setiap jenis wangian di kedai mereka.

Masih lagi dalam pasaraya tadi kita boleh tengok juga contoh kedai yang menjual barangan make up. Pelanggan berpeluang untuk cuba dulu barangan make up yang mereka cari sebelum membeli.

Walaupun nampak macam rugi kita bagi tester, tapi sebenarnya ia membantu pelanggan membuat keputusan seterusnya meningkatkan jualan bisnes.

Kita juga boleh bagi sample percuma kepada bakal pelanggan kita. Katakan kedai kita menjual produk kecantikan seperti pelembap muka. Kita boleh sediakan sample percuma supaya pelanggan dapat rasa sendiri pengalaman memakai produk kita sebelum mereka membeli.

Kita Bagi Terlalu Banyak Pilihan

Ramai orang fikir yang lebih banyak pilihan lebih bagus. Tapi bila terlalu banyak pilihan, otak kita akan jadi pening nak memilih.

Bila kita pergi ke restoran untuk makan tengah hari. Walaupun kita dah selalu makan di restoran tersebut, kita mesti akan fikir nak pilih lauk apa.

Bila terlalu banyak sangat pilihan akan melambatkan lagi proses pembelian pelanggan. Kita pun akan rasa malas nak pergi ke restoran yang sama sebab makin lama makin tak tahu nak makan apa.

Sebab itu restoran yang menawarkan menu simple seperti nasi ayam, nasi lemak dan nasi ayam penyet mendapat sambutan ramai. Sebab pelanggan dah tahu menu apa yang mereka akan pesan dan dah tahu rasa dia macam mana.

Apa nak buat kalau bisnes kita sudah sedia ada banyak pilihan?

Katakan kita ada restoran yang ada lebih 20 menu masakan. Bila pelanggan dapat saja menu mereka pening nak pilih mana satu nak order.

Kita boleh memudahkan pelanggan memilih dengan kita buatkan pilihan seperti ‘best-seller’ atau ‘chef’s pick’. Walaupun menu kita banyak tapi kita dah hadkan pilihan yang terbaik untuk pelanggan kita memilih.

Tiada Sebab Yang Kuat Untuk Pilih Kedai Kita Berbanding Pesaing

Kalau kita jual nasi ayam, pesaing kita juga jual nasi ayam. Kalau kita jual kasut, pesaing kita juga jual kasut.

Jadi macam mana kita nak buatkan bisnes kita ini lebih menarik berbanding pesaing kita?

Kita boleh bagi lebih ‘value’ untuk pelanggan datang ke kedai kita. Kita bagi ganjaran kepada pelanggan yang membeli dari kita.

Pelanggan yang datang dah memang akan membeli apa yang mereka nak, tapi bila kita bagi lagi ganjaran lain mereka akan rasa dihargai.

Pelanggan akan lebih suka berurusan dengan bisnes yang menghargai mereka.

Tapi ada trik bila kita nak bagi ganjaran ni. Untuk dapatkan ganjaran, pelanggan perlu buat sesuatu untuk kita.

Contoh yang biasa kita nampak adalah pam minyak. Belanja minimum RM30 di pam minyak berpeluang menang hadiah menarik.

Pelanggan yang nak isi minyak RM20 pun akan terfikir alang-alang tu baik isi RM30. Dapat peluang menang hadiah.

Kita juga boleh adaptasi cara ini untuk bisnes kita.

Selain dari pembelian minima, kita juga boleh bagi ganjaran untuk pelanggan yang share pengalaman mereka makan di restoran kita di media sosial.

Setiap kali mereka share akan dapat percuma Mango Float misalnya. Dengan bermodalkan Mango Float tadi, kita dah dapat review dari pelanggan di akaun media sosial mereka sendiri dan kawan-kawan mereka juga akan tahu pasal restoran kita.

Jimat duit marketing!

BRC.my | Made with ❤️ in Putrajaya | hai @brc.my | Privacy policy