Home » Artikel » Hidup jahanam dengan tabiat buruk? Ini ayat jampi untuk ubah!

Hidup jahanam dengan tabiat buruk? Ini ayat jampi untuk ubah!

Pernah tak kita rasa hidup kita boleh jahanam disebabkan tabiat buruk yang kita ada?

Tabiat buruk ni contoh macam:
❌ Melayan Facebook berjam-jam
❌ Suka bertangguh kerja
❌ Tengok TV (atau Youtube) berjam-jam

Masa boleh habis gitu je.

Takda hasil pun. Masa terbuang. Kerja tertangguh. Tidur dalam keadaan stress dan rasa ‘kosong’.

“Apa aku buat sebenarnya ni dalam hidup?”

Bayangkan…

1 hari kita bazirkan 2 jam je disebabkan perangai buruk kita. (Selalunya, bagi kebanyakan orang, lebih lagi dari 2 jam, betul tak?)

Seminggu 7 hari, dah 14 jam.

Sebulan 30 hari, dah 60 jam.

Katalah masa bekerja sehari 6 jam lepas tolak rehat, solat & makan. Katalah sebulan ada 26 hari bekerja.

Kalau kita bazirkan 60 jam setiap bulan bermakna setiap bulan kita bazirkan 10 hari bekerja.

Setahun kita bazirkan 120 hari bekerja. 120 hari / 26 hari bekerja = 4.6 bulan. Maknanya dalam setahun kita bazirkan 4 bulan setengah hari bekerja!

Macam gitu je.

Memang patut le jahanam hidup kita kalau banyak tabiat buruk ni.

Sedar tak kita kena buang tabiat buruk?

Bagus kalau dah sedar.

Lepas tu mesti tertanya-tanya:
Macam mana nak buang tabiat buruk dan gantikan dengan tabiat yang lebih baik?

Teruskan baca…

OK sebenarnya ada 2 hakikat penting pasal tabiat ni.

1. Kita tak boleh buang tabiat. Kena kena tukar dengan tabiat lain.

2. Tabiat terbentuk daripada proses 3R. Proses inilah yang jadikan tabiat kita automatik dan kita buat tanpa kita sedar.

Apa benda 3R tu? Ok. Jom kita cerita lebih mendalam…

 

Proses macam mana tabiat berlaku

1. Reminder – pencetus kita buat tabiat.
2. Routine – tabiat tersebut.
3. Reward – ganjaran atau apa yang kita rasa bila kita dah buat tabiat.

Contoh:
🔥 Bila kita buka phone (reminder), kita terus buka FB dan skrol news feed sampai bawah (routine). Bila dah buat, kita rasa seronok (reward).
🔥 Lepas je makan (reminder), terus capai rokok sebatang dan hisap (routine). Bila dah buat rasa nikmat tak terhingga (reward).
🔥 Bangun je tidur (reminder), terus pergi mandi (routine). Bila dah mandi, rasa segar (reward).

3R ini berlaku tanpa kita sedar. Petik je REMINDER tu macam kita petik suis bom. Terus meletup. Boom boom boom!

Kitaran ni akan berulang sampailah tabiat tadi jadi automatik. Kita tak sedar pun benda ni berlaku. Tahu-tahu kita dah selesai buat tabiat tadi.

Kalau tabiat tu tonton TV 2 jam, tahu-tahu dah habis dah 2 jam tu!

Ui bahaya kan? Memang patut la hidup boleh jahanam.

 

Apa punca susah nak ubah tabiat buruk?

Bila 3R ini selalu berlaku, kita makin lama makin terbiasa untuk ulang semula 3R ni.

Reminder > routine > reward. Datang je reminder, terus kita buat routine dan terus kita rasa puas dapat reward.

Makin banyak kali kita buat, kita membina & memperkuat tabiat tu.

 

5 langkah ubah tabiat buruk

Setiap langkah ini penting dan ada tujuan kenapa kita kena buat. Jadi, pastikan ikut turutan langkah ini betul-betul.

Kita buat semua ini untuk UNDO apa yang 3R tadi dah buat kat kita.

Jadi, benda ni semua ambil masa. Buatlah dengan bersabar. Kalau tak sanggup buat, kita akan terus menerus bazir masa berbulan-bulan setiap tahun disebabkan tabiat buruk kita. #matilanak

 

Langkah #1: Kenalpasti REMINDER

Reminder adalah apa-apa yang mencetuskan rasa & mengingatkan kita untuk buat tabiat buruk kita. Boleh jadi waktu, perasaan atau stimulan.

Waktu, perasaan atau stimulan ni yang akan TRIGGER untuk kita mulakan tabiat kita.

Contoh:
🔥 Waktu = pagi lepas bangun tidur, petang lepas balik kerja, lepas makan
🔥 Perasaan = lapar, bosan, mengantuk
🔥 Stimulan = nampak iklan kat TV, bunyi telefon masuk notifikasi, melepak dengan kawan

Langkah pertama, kita kena SEDAR pasal perbuatan kita. Kan tadi kita cakap tabiat ni kita buat secara automatik & tak sedar? Kita bagi sedar dulu!

Masa kita buat tabiat buruk kita, cuba ambil perhatian dan catit…

1. Pukul berapa sekarang?
2. Kita ada kat mana?
3. Kita dengan siapa?
4. Apa perasaan kita sekarang?

Jangan rekod sekali je. Rekod banyak kali. Tengok, mana maklumat tadi yang berulang setiap kali kita buat.

Itulah REMINDER!

Contoh: Biasanya orang buka Facebook atau Youtube sebab bosan, lepas bangun tidur, bila berbunyi notifikasi atau terpandang dekan ikon app FB tu ada nombor berapa banyak notifikasi.

Itulah reminder dan pencetus kepada tabiat buka Facebook atau Youtube selama 2 jam.

 

Langkah #2: Buang REMINDER

REMINDER ni ada 2 jenis…

1. Boleh buang. 

Tindakan kita kat sini: kalau reminder tu boleh buang, kita buang!

Kita teruskan contoh tadi, REMINDER yang kita boleh buang ialah: bunyi notifikasi FB (kita boleh silent), nombor notifikasi kat ikon FB app (pun kita boleh disable).

Ada orang ambil tindakan lebih ekstrim, buang je app FB dari fon. Saya pernah cuba, memang minggu tu jadi minggu yang kurang membawang dan lebih buat kerja!

Atau boleh juga, masa kita bekerja, fon tu jangan letak depan mata. Letak jauh sikit atau bagi kat kawan kita suruh simpan sampai masanya.

2. Tak boleh buang.

Kalau REMINDER kita untuk buat tabiat buka FB ialah bangun tidur, takkan kita nak buang bangun tidur dari hidup kita kan? 😅😅😅

Yang tak boleh buang ni susah sikit. Tapi jangan risau. Kita pergi ke langkah seterusnya.

 

Langkah #3: Kenalpasti REWARD

Reward adalah apa yang kita rasa / dapat lepas kita buat tabiat.

Reward adalah punca kenapa kita buat tabiat tersebut berulang-ulang kali. Kita buat tabiat sebab kita nak reward ini.

Reward biasanya dalam bentuk perasaan.

Contoh:
🔥 Gembira
🔥 Puas
🔥 Bangga
🔥 Rasa pandai
🔥 Rasa berjaya capai sesuatu

Nak tukar tabiat, kita kena tahu apa reward yang kita dapat bila kita buat.

Jadi apa yang kita patut buat?

Setiap kali lepas kita buat tabiat buruk kita, catit apa yang kita rasa ketika itu.

Rasa puas? Gembira? Bangga?

Itulah reward tabiat kita.

Bila dah tahu reward, baru kita boleh pergi langkah seterusnya…

 

Langkah #4: Kenalpasti tabiat lain untuk dapat reward yang sama

Kita nak cari tabiat baru yang boleh ganti tabiat buruk kita sekarang.

Apa kita patut buat?

1. Senaraikan tabiat / aktiviti (ROUTINE) lain yang boleh dapat reward yang sama.

Contoh: Baca buku 1 muka surat atau buat push up 3 kali untuk dapatkan reward yang sama macam buka Facebook.

2. Eksperimen setiap satu — setiap kali datang REMINDER, kita cuba satu-satu ROUTINE baru ni.

Contoh: Setiap kali datang REMINDER (rasa bosan), kita cuba buat salah satu — baca buku & buat push up.

3. Nilaikan REWARD dari routine baru.

Lepas buat, kita nilai balik — berjaya tak kita capai REWARD macam kita biasa dapat? Terhapus tak rasa nak buat tabiat buruk kita tu?

4. Ulang 1 hingga 3 sampailah kita jumpa ROUTINE baru yang sesuai.

Anggap perkara ini macam eksperimen. Kita buat dan buat dan buat sampai kita jumpa pengganti tabiat buruk kita.

Kita masuk langkah terakhir…

 

Langkah #5: Buat satu ayat jampi untuk buat tabiat baru & buang tabiat buruk

Rilek, ni bukan ayat jampi serapah karut marut kurafat. 😂😂😂

Ini apa yang kita dah berjaya kenalpasti:
🔥 REMINDER yang cetuskan tabiat buruk kita
🔥 ROUTINE tabiat buruk kita
🔥 REWARD hasil buat routine tabiat buruk kita
🔥 ROUTINE baru yang lebih baik yang boleh bagi kita reward yang sama; untuk gantikan routine tabiat buruk yang lama

Daripada semua ni, kita ringkaskan jadi satu ayat jampi:
Bila aku rasa bosan, aku akan baca buku 1 muka surat untuk dapatkan kepuasan membaca & dapat maklumat baru.

Sebenarnya, kita memang sedia ada ayat jampi lama:
Bila aku rasa bosan (atau fon aku bunyi notifikasi Facebook), aku akan baca newsfeed Facebook berjam-jam untuk dapatkan kepuasan membaca & dapat maklumat baru.

Cuma selama ni kita tak sedar je. Kan tabiat berlaku secara automatik.

 

Ulang-ulang sampai melekat

Apa yang kita buat dalam 5 langkah yang saya kongsi ni ialah: Kita bagi SEDAR ayat jampi lama ni dan gantikan dengan ayat jampi baru.

Kita ulang-ulang ayat jampi baru ni dan kita ikut sampailah kita terbiasa dengan tabiat baru yang lebih baik.

Memang susah sikit, tapi eloklah buat juga daripada kita membazir masa berbulan-bulan dengan tabiat buruk kita.

Betul tak?

 


SUKA artikel ini? Kongsi sekarang!
Tekan butang SHARE di bawah…

Apa kata anda? Silakan komen...