Home » PELIK TAPI BENAR: Bisnes tak berkembang sebab ‘berfikiran positif’

PELIK TAPI BENAR: Bisnes tak berkembang sebab ‘berfikiran positif’

Oleh: Mohd Alif Haiqal

Mula belajar bisnes dengan dropship. Lepas 2 tahun masih drosphip.

Salah ke? Tidak salah.

Mula dengan dropship, sekarang sudah jadi stokis. Bisnes berkembang ke?

Tidak, belum berkembang. Diri kita sahaja yang berkembang dan membesar. Bisnes kita belum lagi.

Apa maksud bisnes itu berkembang?

Kita beri contoh apa maksudnya bisnes berkembang:

1. Kalau dahulu tidak pernah catat duit keluar masuk. Sekarang sudah bayar cukai perniagaan di LHDN selepas selesaikan zakat perniagaan.

2. Kalau dahulu tidak ada pekerja. Sekarang sudah ada pegawai HR untuk uruskan keluar masuk pekerja.

3. Kalau dahulu sendiri buat semua kerja marketing, sales dan admin. Sekarang, semua kerja itu, ada executive yang menguruskannya dan hantar laporan kepada pengurus bisnes.

 

Alasan bisnes tak berkembang

Antara alasan popular ialah: Saya bisnes kecil kecil je.

Kalau nak bisnes kecil-kecil, kenapa sibuk pergi seminar nak jadi jutawan? Kenapa sibuk kata big why nak bantu orang miskin? Nak sedekah banyak?

Jangan urus diri kita macam orang gila. Orang gila tak mengaku dia gila tetapi dia sebenarnya gila. Tuan Puan pergi seminar jutawan tapi kata, “Saya mahu bisnes kecil-kecil je, tak mahu besar sangat.”

Logik ke?

 

Kenapa masalah ini berlaku?

Mudah sahaja. Ia semudah cara berfikir kita yang salah. Mulut cakap lain tetapi perbuatan buat lain.

Mindset = cara kita berfikir.

Ramai tidak sedar, cara berfikir yang kita pakai setiap hari adalah salah dan tidak betul. Puncanya satu juga, kita tak pernah semak adakah cara berfikir kita ini betul atau tidak.

Asas berfikir yang betul semudah fokus selesaikan masalah.

Ya, selesaikan masalah dalam bisnes. Maka, bisnes itu akan berkembang.

Susah menjual? Pergi kelas belajar cara menjual.

Tak pandai marketing? Baca buku tentang marketing.

Tak tahu mulakan bisnes? Jumpa kawan yang sudah bisnes lama dan stabil.

 

Fikiran positif yang tidak menyelesaikan masalah

Tahu, apa yang kelakar?

Ramai-ramai pergi seminar motivasi. Masalah yang depan mata, tidak pun selesai.

Positif dalam konteks bisnes ialah suasana dan keadaan bisnes yang stabil. Bisnes yang positif ialah bisnes yang berjalan dengan stabil dan berkembang dengan baik.

Apabila berkumpul sekumpulan manusia untuk mereka menyelesaikan masalah bisnes. Inilah positif orang bisnes! Walaupun mereka berfikiran ‘negatif’ semasa dalam proses menyelesaikan masalah.

Berfikiran ‘positif’ bukan bermaksud buat ucapan positif setiap hari. 

Ramai orang baru-baru mula bisnes yang terleka dengan mengejar ‘pemikiran positif’ semata-mata tanpa memberi kesan positif pada bisnes sendiri.

Terlalu berfikir ‘positif’ akan menyebabkan kita terlepas pandang masalah-masalah besar dalam bisnes.

Ramai yang terleka dengan ‘fikiran positif’ sehingga terlupa kerja sebenar untuk kembangkan bisnes!

 

Positif pada hasil, bukan semata pada perbuatan

Dalam satu kumpulan panglima perang, mereka akan berucap dengan banyak perkataan negatif, tetapi bagi mereka, itu suasana positif. Mereka berfikir strategi untuk menang.

Mereka juga berfikir bagaimana situasi yang boleh menyebabkan mereka kalah SUPAYA boleh mengelakkan ia berlaku.

Di dalam sebuah hospital, para doktor dan jururawat bercerita tentang penyakit dan risiko mati. Bagi mereka, itu positif, itu cara mereka berfikir untuk menyelamatkan nyawa manusia.

 

Positif yang negatif; negatif yang positif

Ya, kalau diukur dengan sudut pemikiran ‘positif’ yang ramai ikut:
Panglima perang dan doktor ini berfikiran ‘negatif’.

Itu perbuatan mereka, Tuan Puan! Bezakan perbuatan dengan hasil.

Apa yang mereka kejar dan capai ialah sesuatu yang berhasil positif.

Berapa ramai pula yang ‘berfikiran positif’ mengucap kata-kata motivasi tak sudah-sudah tapi bisnes masih kekal tempat sama malah makin merudum?

Positif ke negatif tu?

 

Jadi, Tuan Puan, apa patut dibuat?

Positif negatif bukan sekadar luaran dan yang nampak depan mata.

Cuba fikir lebih mendalam.

Apa hasilnya ‘pemikiran positif’ yang kita anuti itu? Apa hasilnya geng sahabat ‘positif’ kita?

Setakat jawab salam pada ruang komen di post Facebook kita bolehlah. Cuba tanya soalan bisnes, berapa ramai yang boleh bagi solusi bernas?

Pilih suasana positif yang memberi hasil positif. 

Cari kumpulan positif yang sebenar. Mereka bantu selesaikan masalah bisnes. Bukan cuma sekadar mampu buat ucapan di Facebook.

Mereka beri idea dan solusi. Insya-Allah, kita dapat rasa suasana positif itu. Jika tidak, kita duduk dalam dunia khayalan ciptaan sendiri.


Nota editor: Artikel ini ditulis oleh penulis jemputan. Ia telah disunting dengan beberapa pengubahsuaian dan tambahan ayat untuk penjelasan tanpa mengubah maksud. 

~ Bukhari Ramli

 

Mohd Alif Haiqal ialah seorang bekas kadet Palapes. Sebab itu beliau ganas dan ‘straight forward’. Beliau menulis daripada pengalaman bisnes sendiri daripada sudut yang lebih ganas & mudah faham.

Apa kata anda? Silakan komen...