Home » Kenapa orang bisnes WAJIB buat ‘record keeping’?

Kenapa orang bisnes WAJIB buat ‘record keeping’?

Oleh: Amirul Faiz

Kesilapan yang selalu dilakukan pada peringkat permulaan bagi peniaga kecil dan sederhana adalah tidak menitikberatkan soal simpanan rekod atau record keeping.

Selalunya kes ini terjadi jika perniagaan tidak menggunakan sistem kod bar atau sistem perakaunan untuk merekod jualan dan bayaran.

Hanya bergantung pada transaksi bank.

Jangan tak tahu. Microsoft Excel boleh membantu. Anda hanya perlukan 1 perkara iaitu ‘kerajinan’ untuk merekod.

Boleh jadi sehari sekali. Seminggu sekali.

Bergantung kepada kadar kekerapan duit keluar masuk harian. Jika produk anda laku keras dan anda selalu lakukan bayaran harian, rekod jualan perlu dilakukan setiap hari.

Kenapa benda ini penting?

Kita boleh bahagikan sebab-sebab mengapa kita perlu buat record keeping ini kepada internal dan external.

Kita mula dengan internal dulu…

Internal bermaksud keperluan dalam syarikat kita sendiri.

 

Supaya kita tahu kesihatan bisnes sendiri

Sebagai pemilik bisnes, setiap ringgit yang dikeluarkan dan diterima adalah sangat penting.

Biasa dengar orang cakap macam ni?

“Rasa jualan aku banyak tapi mana pergi duit aku eh?”

“Eh, kenapa resit jualan aku tak sama dengan baki bank ye?”

Dengan adanya record keeping, kita boleh nampak ke mana perginya duit dan dari mana datangnya duit kita.

Apabila record keeping dibuat dengan baik, kita dapat buat kajian dan perbandingan untuk pelbagai aspek.

 

Contoh maklumat yang kita boleh dapat apabila kita catit kira-kira:

1. Pemasaran dan pengiklanan sebanyak RMxxxx mampu memberi jualan sebanyak RMyyyy

2. Apa punca kemerosotan jualan jika dibandingkan dengan bulan lepas?

3. Berapakah nilai breakeven (titik pulang modal)?

4. Berapakah kos overhead syarikat?

Supaya kita boleh meramal masa depan

Sekali lagi ditekankan, setiap sen adalah bernilai.

Untuk mengurangkan risiko duit terbakar, skil forecasting — atau skil membuat ramalan — amat penting.

Forecasting dapat dilakukan dengan baik jika bisnes sudah ada record keeping yang sempurna.

Sebab apa? Sebab petunjuk apa yang akan berlaku di masa depan boleh kita nampak daripada apa yang pernah berlaku sebelum ini.

Kita boleh bina graf untuk melihat trend dalam perbelanjaan atau jualan dari bulan ke bulan.

Dari situ kita boleh anggarkan berapa nilai jualan pada bulan akan datang, berapa kos tetap dan berapa kos tidak tetap.

Ini mampu untuk memastikan duit syarikat digunakan dengan sebaiknya.


OK itu yang internal.

Ada juga sebab-sebab external — luaran — mengapa kita perlu buat record keeping.

Biasalah. Kita buat bisnes. Mesti ada beberapa benda yang kita kena patuh.

 

Juruaudit luar

Setelah berakhirnya setiap tahun, kita perlu memastikan akaun syarikat diaudit. Ia dilakukan oleh juruaudit.

Untuk Sdn Bhd, ia diwajibkan (boleh rujuk Akta Syarikat 2016 untuk undang-undang yang terbaharu).

Apabila syarikat ada record keeping yang sempurna, ia akan memudahkan lagi tugas Juru Audit Luar untuk mengeluarkan ‘Full Set of Accounts‘. Ini merangkumi Kunci Kira-kira, Penyata Untung Rugi dan nota-nota lain.

 

Lembaga Hasil Dalam Negeri

Setelah ‘Full Set of Accounts’ yang telah diaudit telah dikeluarkan, syarikat perlu bersedia untuk membayar cukai pula.

Ini merujuk kepada tanggungjawab kepada LHDN. Perlu ditekankan disini bahawa mengisytiharkan cukai adalah wajib.

Perlu bayar atau tidak ia bergantung kepada pendapatan tahunan syarikat tersebut.

 

Zakat perniagaan

Sebagai seorang yang beragama islam, zakat perniagaan jangan dilupakan. Daripada Penyata Pendapatan tadi anda boleh anggarkan jumlah yang perlu untuk dizakatkan.

Boleh rujuk Pusat Zakat untuk pengiraan yang lebih tepat.

 

Sokongan daripada institusi kewangan

Jika syarikat anda perlukan dana yang besar, bank amat menggalakkan anda kepilkan aliran duit keluar masuk syarikat untuk menyokong permohonan pinjaman.

Jika anda sudah memiliki Full Set of Accounts, ini lebih baik. Beri saja terus kepada pihak bank.

 

Jangan tunggu, buat sekarang!

Akhir sekali, jika anda belum mulakan record keeping, mulakan dari sekarang.

Tugas ini melecehkan tetapi jika anda konsisten, anda akan nampak hasilnya.

Tiada masa? Lantik seorang akauntan.

Tiada duit? Mulakan catatan dalam Excel secara harian atau mingguan.


Amirul Faiz menjalankan bisnes bersama isteri sejak 2015. Berbekalkan ilmu dalam perakaunan, pengurusan kos dan percukaian selama 6 tahun, beliau kini menerapkan ilmu tersebut dalam perniagaan beliau.

SUKA artikel ini? Kongsi manfaatnya.
Tekan butang SHARE!


Apa kata anda? Silakan komen...