Home » Kenapa jualan tak menjadi? Pelajaran daripada budak 2 tahun

Kenapa jualan tak menjadi? Pelajaran daripada budak 2 tahun

Oleh: Zulfadhlee Ithari

Kebanyakan orang yang baru mula berjinak-jinak untuk berniaga, kita bermula dengan idea (angan-angan) bisnes yang kononnya, paling bermanfaat dan boleh membantu semua manusia di muka bumi Tuhan ini.

Betul, kitalah bisnesman teragung abad ini.

Ini benar sehingga satu peringkat kita sedar, tidak ada seorang pun pelanggan yang lekat malah kawan rapat pun dah tak nak dekat.

Oh jangan risau, anda tidak berseorangan dalam situasi ini sebab ramai yang melalui pengalaman yang sama.

Termasuklah saya!

Sampai satu hari, anak saya yang berusia 2 tahun ajar saya untuk kenal dan tahu kehendak sebenar pelanggan saya.

Apa yang berlaku?


Biasa tak anda struggle untuk suruh anak makan ubat?

Susah kan?

 

Belajar dari anak

“Adik, makan ubat jom”

Senyap.

“Adik nak makan ubat?”

Geleng.

“Ok, adik nak apa?”

Sambil buat comel, dia jawab…

“Adik nak roti coklat.”

Giliran saya pula untuk terdiam sekejap.

Sebab jawapan dia buat saya terfikir dan cuba untuk recall: sebagai seorang peniaga, bila kali terakhir saya tanya pelanggan saya apa yang mereka mahu?

Ke tak pernah tanya langsung!?

 

Pelajaran #1: Tahu apa pelanggan mahu

Dari awal kita sudah sibuk untuk menjual nilai produk atau servis kita kepada semua orang. Asal ada orang lalu je, tak kira siapa, semua kita tahan untuk tawarkan produk kita.

Prospek baru bagi salam, kita terus bom dia dengan segala jenis mak nenek manfaat produk dan testimoni yang sebenarnya tidak ada kaitan dengan kehendak prospek tersebut.

Prospek tengah cari produk untuk rawat resdung, kita pula sibuk cerita tentang produk untuk mancungkan hidung.

Pada masa kita tawarkan produk yang kononnya boleh selesaikan 1001 masalah, kita terlupa nak tanya pada prospek apa sebenarnya yang mereka mahu?

Mana kita tahu, masalah prospek tersebut adalah yang ke 1002?

Jadi, kita buat lah macam mana pun, hatta offer nak berikan secara percuma pun belum tentu dia ambil.

Sebaik-baik benih, tetap susah tumbuh jika tanah tidak subur. Sebaik-baik produk, tetap susah terjual tanpa pelanggan yang betul.

 

 

Pelajaran #2: Bertindak ikut aturan… Dan sabar

Berbalik kepada cerita anak saya tadi. Untuk saya sebagai seorang bapa kepada anak yang sedang selsema, saya perlu pastikan ubat diberi tepat pada masanya.

Tapi pada waktu itu, anak saya mahukan roti coklat tapi saya tawarkan ubat. Secara logiknya, memanglah dia taknak dan mungkin sebab itu juga anak kecil meraung melalak apabila sampai masa untuk makan ubat.

Main kejar-kejar satu rumah lah kita, kan?

Sebelum anda tawarkan ubat yang sememangnya dia tak mahu, cuba tanya pada mereka

“Sebelum makan ubat, adik nak apa?”

Sebab, lepas kami berikan dia roti coklat yang dia teringin sangat, senang je nak suap ubat kemudian.

Tak perlu susah-susah nak tahan telinga dengar dia melalak pun.

Samalah dengan kes kita dengan prospek bisnes. Jika kita gagal untuk close seorang prospek hari ini, jangan pula esok kita ‘buang’ terus dari database kita.

Fed up kononnya.

Kalau baru sekali kena reject dah “merajuk”, jangan sibuk terjun dunia bisnes.

Jika anda tahu yang prospek tersebut adalah calon pelanggan yang betul, anda juga sepatutnya tahu bahawa bukan dia tidak mahu, cuma belum lagi.

Sabar dan beri dulu apa yang dia mahu.

Apa yang kita boleh buat adalah usaha berterusan untuk kekalkan hubungan baik dengan prospek tersebut. Terus berikan maklumat dan manfaat kepada setiap prospek dan pelanggan kita.

Konsisten dan persisten.

Sebab, bila tiba masanya mereka memerlukan produk atau servis yang kita tawarkan, mereka tahu dan yakin siapa dan di mana mereka perlu cari.

 

Jaga pelanggan sebab…

Hadam quote dari Russel Brunson ni betul-betul:

“Neither a product nor your service is a company. Your company is… your CUSTOMERS. The sooner you learn that, the happier (and richer) you will be.”

 

Zulfadhlee Ithari bekerja sebagai seorang data analyst, maka beliau menulis untuk keluar dari dunia logik angka dan formula. Suka dengar dan belajar dari pelbagai podcast bisnes dalam usaha membantu pasangan beliau menjalankan bisnes secara online.


SUKA artikel ini? Kongsi manfaatnya.
Tekan butang SHARE!


Apa kata anda? Silakan komen...